16 Ogos, 2010

Jom Makan Durian' tarik lebih ramai pengunjung ke Muzium Negara

KUALA LUMPUR - Muzium Negara hari ini menganjurkan acara ”Jom makan durian” dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk menjadikan muzium sebagai tempat yang sering dikunjungi.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Datuk Ibrahim Ismail berkata, program selama dua hari bermula hari ini bertujuan memperkenalkan buah-buahan tempatan kepada para pelawat termasuk pengunjung asing.

"Tujuan mengadakan aktiviti sebegini adalah untuk mendekatkan masyarakat ke muzium, menjadikan muzium sebagai tempat yang selalu disebut dan diingat selain memperbanyakkan lagi bilangan pelawat yang berkunjung ke muzium,” katanya.

Beliau juga berkata, terdapat pelbagai aktiviti telah disediakan bagi pihak pengunjung dengan hadiah bertuah yang menarik antaranya pertandingan makan durian, pertandingan meneka berat durian dan aktiviti ”kibar jalur gemilang”, petang esok. - Bernama

Tiada ulasan: